[Alerts] The Same Kidnappers?

According to Harian Metro, the same people who kidnapped Nurin might have been behind the attempt to kidnap another child, this time a male boy who was sitting outside his home alone. His assailant picked up him bodily and took him away. He managed to escape when the van slowed down passing by a Ramadhan bazaar.

Full news in Malay after the cut. Budak nyaris diculik
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my

PUCHONG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Bandar Kinrara di sini, dikatakan nyaris menjadi mangsa culik mirip kes Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Dalam kejadian jam 7.13 malam pada 9 September lalu, dua lelaki menaiki van putih didakwa melarikan kanak-kanak berkenaan yang ketika itu sedang duduk bersendirian di tembok batu berdekatan pintu lif flet kediaman keluarganya.

Penjenayah terbabit dipercayai mengambil kesempatan ketika umat Islam di kawasan terbabit sibuk membuat persiapan untuk berbuka puasa.

Kanak-kanak itu bagaimanapun terselamat apabila dia nekad terjun dari van terbabit sebaik pemandunya memperlahankan kenderaan ketika melalui bazar Ramadan, kira-kira 100 meter dari tempat dia diculik.

Kejadian itu mendorong pihak tertentu menampal notis peringatan kepada ibu bapa mengenai cubaan menculik kanak-kanak itu pada pintu lif di setiap blok flet berkenaan.

Ibu kanak-kanak itu yang enggan mendedahkan identitinya, berkata berikutan kejadian beberapa minit sebelum waktu berbuka puasa itu, anaknya kini trauma.

“Anak saya beritahu dia didatangi dua lelaki ketika duduk bersendirian di tembok berhampiran blok rumah.

“Lelaki itu terus mendukungnya masuk ke dalam van putih yang diletakkan tidak jauh dari situ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Selepas masuk ke dalam van melalui pintu belakang, katanya, anaknya meronta dan merayu dilepaskan.

Namun, rayuannya tidak diendahkan, sebaliknya penjenayah terbabit terus memecut dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, mangsa melarikan diri dengan terjun selepas membuka pintu van ketika penjenayah memperlahankan kenderaan apabila melalui bazar Ramadan berdekatan.

“Sebaik terjun dari van, anak saya terus berlari ke arah orang ramai yang berniaga dan membeli juadah berbuka puasa.

“Kerana takut dia tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk peniaga pasar Ramadan itu,” katanya.

Wanita berusia 40-an itu berkata, anaknya pulang ke rumah selepas waktu berbuka puasa dengan wajah pucat seolah-olah ditimpa masalah.

Selepas didesak, mangsa menceritakan kejadian dia cuba diculik dua lelaki menaiki van putih.

“Anak saya turut memberitahu gagal mengecam wajah suspek dan nombor plat pendaftaran kerana terlalu takut.

“Dua lelaki itu sempat memanggilnya sebaik dia terjun dari van dan melarikan diri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Puchong Jaya.

Wanita itu berkata, apa yang dibimbanginya ialah cubaan menculik anaknya sama dengan dengan kes culik Nurin Jazlin, tahun lalu.

Dalam kejadian culik Nurin Jazlin itu, seorang rakan sekolah mangsa mendakwa dia nampak kanak-kanak itu ditarik masuk ke dalam sebuah van putih pada malam kehilangannya, 20 Ogos tahun lalu.